Tip Berniaga Online

689

SEBUT sahaja Mudah.my, Lazada, Shopee, 11Street, Zalora, FashionValet dan Alibaba, ramai yang sudah kenal nama-nama ini sebagai kedai atas talian terkenal di Malaysia.

Bahkan jika sebut Facebook atau Instagram sekalipun, semakin ramai rakyat Malaysia melihat laman media sosial ini bukan semata-mata tempat beramah mesra dengan rakan-rakan tetapi juga untuk membeli-belah.

Satu kajian oleh iPrice Group melaporkan, sehingga Ogos 2017 nilai industri e-dagang di negara ini bernilai RM24.6 bilion.

Pada Julai 2017, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, pelbagai usaha sedang dilakukan untuk meningkatkan sumbangan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) industri e-dagang daripada 5.4 peratus pada 2015 kepada sembilan hingga 10 peratus menjelang 2020.

Dengan peningkatan kos hidup hari ini, semakin ramai menjalankan perniagaan atas talian untuk menjana pendapatan kedua.

Tanpa memerlukan modal besar atau kemahiran canggih mengendalikan komputer, sesiapa sahaja boleh memulakan perniagaan dengan risiko kerugian sifar atau sangat minimum.

Bahkan, ada juga yang pada mulanya menjalankan perniagaan ini secara sambilan akhirnya menjadikannya sumber pendapatan utama dengan ramai meninggalkan pekerjaan makan gaji mereka.

Mula tanpa modal
Dalam ‘Seminar Mula E-Commerce’ di sini, pada 20 Januari lalu, lebih 100 orang awam yang berminat dengan perniagaan atas talian hadir mempelajari ilmu asas.

Seminar selama sehari ini menggabungkan empat penggiat perniagaan atas talian untuk memberi bimbingan cara memulakan perniagaan atas talian daripada peringkat asas menggunakan platform percuma hinggalah cara membesarkan perniagaan menggunakan ruang internet berbayar.

Pengasas kedai barangan ibu dan anak thebabystore.com.my, Syed Rosman Hashimy Syed Alwi, 33, menjadi penceramah pertama seminar.

Beliau berkongsi pengalamannya menceburi bidang perniagaan atas talian sejak 2013.

“Perniagaan atas talian boleh dimulakan tanpa kos sekiranya seseorang itu sudah pun memiliki komputer dan capaian internet. Dua cara mudah adalah menjadi ejen ‘dropship’ atau menjual dengan cara mengambil pesanan awal.

“Sebagai contoh, jika ada kilang keropok lekor berdekatan tempat tinggal, iklankan produk kilang itu di internet. Jika ada tempahan, minta pelanggan buat bayaran penuh termasuk kos penghantaran. Dengan duit itu, penjual beli produk, hantar kepada pelanggan dan nikmati untung daripada jualan itu,” katanya.

Banyak platform
Syed Rosman turut berkongsi peta jalan yang memberi panduan kepada peniaga baharu membangunkan perniagaan sesuai dengan tahap kemampuan mereka.

Langkah pertama yang dicadangkan beliau adalah bermula dengan membuat jualan di laman pasaran mudah.my kerana laman ini memberi kemahiran asas dalam membuat penyenaraian produk. Laman ini juga tidak mengenakan sebarang caj perkhidmatan.

Setelah mahir, peniaga boleh berpindah ke laman pasaran lain seperti Shopee, Lazada dan 11Street. Ada antara laman ini mengenakan caj perkhidmatan dan ada yang percuma.

Apa yang penting kata Syed Rosman, di peringkat ini peniaga boleh fokus kepada aktiviti jualan dan perkhidmatan pelanggan kerana mereka tidak perlu memikirkan aspek teknikal seperti pewujudan dan penyelenggaraan laman sesawang yang memerlukan skop kemahiran yang jauh berbeza.

Di peringkat ini juga peniaga tidak perlu fokus melaburkan wang untuk aktiviti promosi seperti Facebook Advertisement dan Google Advertisement kerana pemilik laman pasaran akan menggalas tanggungjawab itu.

“Kesempatan ini boleh digunakan peniaga untuk meningkatkan kecekapan operasi, menyusun aliran tunai yang baik dan merancang dengan baik sebelum mewujudkan platform e-dagang mereka sendiri,” katanya.

Tingkatkan kepercayaan
Bagi pengasas laman notabisnes.net, Ahmad Izwan Abdul Wahab, 35, dua perkara penting menjana kepercayaan pelanggan urus niaga atas talian adalah kepercayaan pembeli terhadap diri penjual dan keberkesanan produk atau perkhidmatan yang ditawarkan.

Dikenali sebagai pemudah cara dalam kalangan usahawan atas talian, Ahmad Izwan menekankan untuk meningkatkan kepercayaan, interaksi secara konsisten memainkan peranan utama. Semakin kerap mereka ‘melihat’ peniaga, semakin meningkatlah kepercayaan.

“Kemudian baru kita masuk kepada menjaga hati pelanggan. Definisi pelanggan di sini adalah mereka yang membeli produk walaupun ia hanyalah sampel bernilai RM1.

“Dengan maklumat peribadi pelanggan seperti nombor telefon dan alamat emel, kita sentiasa berkomunikasi dengan mereka berhubung status pembelian seperti status pesanan mereka, produk sudah dibungkus, sudah dihantar dan akhir sekali pertanyaan jika mereka sudah menerima produk yang dibeli.

“Bisnes yang menghubungi dan menjaga kepentingan pelanggan secara proaktif akan mendapat kepercayaan tinggi pelanggan walaupun tanpa bersua muka,” tegasnya.