Tabung #FreeNajib hampir mencecah suku juta

31

KUALA LUMPUR – Jumlah kutipan terkumpul Tabung #FreeNajib yang dilancarkan Sekretariat Solidariti Najib Razak semalam kini mencecah RM204,393 setakat jam 3.30 petang ini.

Ketua sekretariat itu, Datuk Mohd Razlan Muhammad Rafii berkata, daripada jumlah itu, RM86,282 diperoleh secara tunai, manakala selebihnya RM118,211 daripada bank.

Katanya, kutipan itu bukan sahaja hasil sumbangan daripada ahli Umno, tetapi seluruh rakyat Malaysia dan dunia.

“Ada antara penyumbang ini yang terhutang budi dengan Datuk Seri Najib Tun Razak (bekas Perdana Menteri) kerana pernah menerima bantuan Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) dan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) secara tidak langsung. Saya lihat akaunnya ada RM23, tetapi menyumbang pada tabung ini RM10.

“Sebenarnya ini adalah kasih sayang rakyat kerana tidak sanggup tengok Datuk Seri Najib (dalam keadaan) begitu rupa. Saya memang sengaja menggunakan nombor telefon sendiri supaya orang boleh sampaikan sumbangan dan kata-kata semangat kepada Datuk Seri Najib. Kami akan sampaikan kepada Datuk Seri Najib nanti. Selain itu, kita juga ada terima permintaan daripada Singapura dan Kanada nak minta untuk menyumbang dalam tabung ini,” katanya.

Tabung #FreeNajib yang bertujuan mengumpulkan dana sebanyak RM500,000 bagi membayar baki wang ikat jamin dikenakan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap Najib.

Mohd Razlan berkata, semua sumbangan itu akan diserahkan kepada wakil Najib di Mahkamah Jalan Duta, di sini, jam 12 tengah hari Isnin ini.

“Datuk Seri Najib diberi masa (untuk menyelesaikan baki jaminannya) sehingga jam 3 petang Isnin. Walaupun jumlahnya tidak mencecah RM500,000, kita tetap akan serahkan kutipan ini.

“Keluarga Datuk Seri Najib pun ada buat kutipan kawan-kawan, tapi itu pihak keluarga dan tabung ini pula dari kita,” katanya.

Pada 4 Julai lalu, Najib mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur atas tiga pertuduhan pecah amanah dan satu pertuduhan rasuah membabitkan wang berjumlah keseluruhan RM42 juta.

Mahkamah menetapkan ikat jamin sebanyak RM1 juta untuk semua pertuduhan, di mana RM500,000 dibayar hari itu dan bakinya sebelum 3 petang Isnin depan, bersama dua penjamin.

TINGGALKAN PESANAN