Thursday, December 12, 2019
Laman Utama Berita Lokal Susut RM4.10 berbanding dolar AS

Susut RM4.10 berbanding dolar AS

188

Prospek ringgit bergantung kepada faktor perkembangan perdagangan global

NILAI ringgit akan lebih terkesan sekiranya perang perdagangan global berterusan. Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Ringgit Malaysia mungkin susut ke paras RM4.10 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) menjelang akhir tahun ini sekiranya perang perdagangan global terus berlarutan.

Ketua Strategi Mata Wang dan Penyelidikan Pasaran FXTM Global, Jameel Ahmad berkata, kelemahan ringgit ketika ini di­sebabkan oleh kekukuhan dolar apabila minat pelabur terhadap mata wang itu terus meningkat berikutan jangkaan kenaikan kadar faedah AS dan peningkatan ketegangan perdagangan global.

“Prospek ringgit bergantung kepada perkembangan perdagangan global kerana ringgit terus mencatatkan penurunannya berbanding dolar setakat ini,” katanya pada satu taklimat media di sini semalam.

Jameel menjelaskan, hala tuju ringgit seterusnya bergantung kepada bagaimana Beijing akan mengambil tindakan atau bertindak balas kepada tarif perdagangan,” katanya.

Beliau tidak merasakan People’s Bank of China (PBOC) atau bank pusat China akan menurunkan nilai Yuan, kerana ia berisiko menyebabkan pelabur hilang keyakinan terhadap China, seperti yang berlaku pada 2015.

“Meskipun Yuan pulih semula daripada penurunan dalam tempoh beberapa minggu ini, ia besar kemungkinan disebabkan langkah-langkah PBOC. Pe­ngukuhan dolar AS berpunca kepada penurunan Yuan,” jelasnya.

Beliau menjelaskan, sekiranya China tidak bertindak balas ia akan membawa kesan positif kepada mata wang negara yang sedang pesat membangun namun akan menyebabkan keadaan tidak menentu dalam kuasa pasaran luar.

“Sehingga kini, Ringgit menjadi mata wang Asia kedua yang mencatatkan prestasi terbaik pada tahun ini dengan hanya Yen mencatatkan prestasi lebih baik berbanding ringgit,” katanya. – Bernama

TINGGALKAN PESANAN