Tuesday, August 20, 2019
Laman Utama Berita Lokal Sedia RM2 bilion untuk pacu PKS

Sedia RM2 bilion untuk pacu PKS

130

Hamirullah (dua dari kiri) bersama Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif CGC, Datuk Mohd. Zamree Mohd. Ishak (dua dari kanan) pada majlis menandatangani perjanjian antara Maybank dan CGC semalam.

KUALA LUMPUR – Maybank bekerjasama dengan Credit Guarantee Corporation Malaysia Bhd. (CGC) dalam menyediakan pembiayaan sehingga RM2 bilion kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menerusi Skim Jaminan Portfolio CGC.

Ketua Perkhidmatan Kewangan Komuniti Maybank Malaysia, Datuk Hamirullah Boorhan berkata, ia merupakan pembiayaan terbesar di bawah skim tersebut yang bertujuan untuk terus menyokong perkembangan perniagaan PKS.

“Jaminan portfolio RM2 bilion ini adalah tambahan kepada RM1.26 bilion yang diluluskan oleh Maybank pada tahun 2014, diikuti dengan RM1.1 bilion (2015) dan RM1.5 bilion (2016), didorong oleh permintaan tinggi daripada PKS.

“Keputusan kami untuk meneruskan kerjasama dengan CGC sehingga ke RM2 bilion membuktikan komitmen Maybank untuk menyokong pertumbuhan sektor PKS tempatan yang merupakan penyumbang utama ekonomi negara,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Menurut Hamirullah, sejak akhir tahun lalu, Maybank telah menjadi rakan kongsi jaminan portfolio terbesar di pasaran PKS dengan jumlah pembayaran bernilai hampir RM3.78 bilion yang memanfaatkan lebih 8,000 pelanggan di seluruh negara.

“Sehingga suku pertama 2018, kami telah melangkaui nilai jaminan portfolio RM4 bilion dan yakin jumlah ini akan terus meningkat,” ujarnya.

Di bawah Skim Jaminan Portfolio Maybank-CGC, PKS boleh memohon sama ada untuk mendapatkan kemudahan pinjaman Islam atau konvensional, daripada nilai minimum RM50,000 hingga RM1.5 juta untuk tempoh tetap sehingga tujuh tahun.

Selain itu, sebanyak 70 peratus jumlah pembiayaan utama akan dijamin oleh CGC.

TINGGALKAN PESANAN