Rizab antarabangsa BNM lebih rendah

46

KUALA LUMPUR – Rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia (BNM) berjumlah AS$103.9 bilion pada 14 September berbanding AS$104.4 bilion pada 30 Ogos 2018.

Dalam satu kenyataan hari ini, bank pusat berkenaan berkata, paras rizab yang lebih rendah ini mencerminkan sebahagian besarnya aliran keluar dana portfolio, seperti yang berlaku di rantau ini.

“Kedudukan rizab ini memadai untuk membiayai 8.1 bulan import tertangguh dan 0.9 kali hutang luar negeri jangka pendek,” kata BNM.

BNM menambah, sebahagian besar hutang luar negeri jangka pendek adalah hutang institusi perbankan (69.3 peratus daripada hutang luar negeri jangka pendek) yang mencerminkan pemusatan pengurusan mudah tunai oleh institusi perbankan Malaysia yang beroperasi di rantau ini dan kehadiran banyak bank asing di Malaysia.

“Institusi ini memegang aset luaran yang besar (RM293 bilion), yang boleh digunakan untuk memenuhi obligasi hutang mereka, tanpa memerlukan tuntutan ke atas rizab antarabangsa BNM,” kata BNM.

Komponen utama rizab antarabangsa itu meliputi rizab mata wang asing sebanyak AS$97.8 bilion, kedudukan rizab Dana Kewangan Antarabangsa (AS$900 juta), Hak Pengeluaran Khas (SDR) (AS$1.1 bilion), emas (AS$1.6 bilion), dan aset rizab lain (AS$2.5 billion).

Menurut BNM, aset termasuk emas dan pertukaran asing serta rizab lain termasuk SDR (RM420.38 bilion), Kertas Kerajaan Malaysia (RM4.34 bilion), deposit dengan institusi kewangan (RM568.56 juta), pinjaman dan pendahuluan (RM7.1 bilion), tanah dan bangunan (RM4.17 bilion), dan aset lain (RM7.8 bilion). – Bernama

TINGGALKAN PESANAN