Wednesday, November 21, 2018
Laman Utama Sembang Editor Rancang simpanan persaraan, elak sengsara di hari tua

Rancang simpanan persaraan, elak sengsara di hari tua

33

Fizo (dua, kiri) berkongsi pengalamannya semasa sesi sembang santai.

CUKUP tak duit aku di hari tua nanti. Bila dah bersara macam mana agaknya perbelanjaan pendidikan anak-anak. Adakah dapat bersara dengan tenang ataupun terpaksa berhutang sehingga tua untuk langsaikan pinjaman, bayar kereta dan kad kredit?

Ataupun, perlukah keluarkan simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bila berusia 55 tahun nanti. Pastinya perkara itu berlegar di fikiran kita dan susah untuk mencari jawapan yang tepat jika tidak mendapat maklumat sebenar.

Namun semua persoalan tersebut terjawab secara tuntas menerusi Kempen Celik Kewangan KWSP bersama Sinar Harian yang dihadiri 400 peserta dari pelbagai peringkat usia di Kota Bharu, semalam.

Ketua Cawangan KWSP Kelantan, Mohamad Bakri Muhammad berkata, program itu dilaksanakan bagi memberi kesedaran kepada masyarakat supaya menyimpan untuk hari tua dan merancang simpanan KWSP dengan baik demi mengelak sengsara setelah bersara.

“Simpanlah semasa kita masih ada kudrat. Kalau yang tidak ada majikan pun mereka boleh sarankan kepada ibu bapa untuk mencarum kepada mereka dan setelah bekerja nanti boleh teruskan caruman.

“Kita mahu mendidik masyarakat khasnya untuk rakyat Kelantan belajar urus kewangan dengan baik. Kita nak ketika di hari tua nanti sudah ada jaminan untuk kesihatan, masa depan dan pendidikan anak-anak,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, bagi memberi lebih kefahaman kepada peserta, pihaknya menganjurkan bicara santai melibatkan Pegawai Khidmat Persaraan KWSP Kelantan, Mahmud Mohd Yassin; Pegawai Kredit Kaunselor Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), Suhaila Abdul Hamid dan pelakon terkenal dalam perniagaan, Fizo Omar.

Sementara itu, Mahmud dalam sesi ceramahnya turut menasihatkan orang ramai supaya tidak tergesa-gesa mengeluarkan keseluruhan simpanan mereka ketika berusia 55 tahun.

“Ada yang bimbang bila tidak keluarkan pada usia 55 tahun, simpanan tersebut susah untuk dikeluarkan nanti. Jangan risau KWSP ada banyak cara untuk pastikan pencarum mendapat faedahnya.

“Paling penting, ada masalah rujuk kami. Kami tidak kenakan bayaran untuk khidmat nasihat. Yang penting anda komited untuk pastikan kehidupan di penghujung usia nanti terbaik setelah berpuluh-puluh tahun bekerja,” katanya.

Peserta yang mengikuti program tekun mendengar perkongsian yang disampaikan.

Dalam pada itu, Fizo yang baru melancarkan kedai makan, MawarFizo Kitchen di Kota Bharu turut berkongsi kecekalannya bangun semula setelah gagal dalam perniagaan akibat ditipu rakan sendiri.

Fizo, 33, berkata, di sebalik cabarannya itu dia percaya terdapat peluang untuk terus maju di dalam hidup dan baginya setiap permasalahan mempunyai jalan penyelesaian.

“Jadi saya tidak putus asa, saya rujuk masalah kepada KWSP dan juga AKPK untuk bantu saya uruskan masalah yang membuatkan saya disenarai hitamkan. Alhamdulillah ia dapat diuruskan dengan baik.

“Oleh itu masyarakat di luar sana pun begitulah. Perlu ada kesedaran kena menabung dari awal. Bijak merancang simpanan supaya ia memberi pulangan semula kepada kita dan lebih penting ketika kita sudah tua,” katanya.

Mengakui keberkesanan program itu, seorang peserta, Raja Rusmin Raja Mahmud berkata, perkongsian diberikan sangat membantunya menguruskan kewangan terutama melibatkan simpanan KWSP.

“Jika sebelum kita anggap pada usia 55 tahun masing-masing berlumba-lumba mahu keluarkan simpanan KWSP, tapi bila ikuti program ini kita tidak akan sewenang-wenangnya keluarkan duit itu. Boleh keluarkan tapi jangan semua,” katanya.

Beliau yang juga Ketua Eksekutif Royal Guest House berkata, sebagai majikan ia sangat membantunya untuk memastikan pekerjanya membuat caruman dan merancang dengan baik apatah lagi ketika ekonomi negara dalam keadaan tidak menentu.

Seorang pelajar, Najmi Saifulbahry, 17, berkata, program tersebut memberi kesedaran kepadanya untuk merancang kewangan dengan bantuan AKPK ketika muda lagi dan dapat mengetahui hak sebagai pencarum KWSP ketika bekerja nanti.

“Kita tahu urus kewangan memang sangat penting, tetapi nak dapatkan cara yang betul itu susah. Jadi dengan bantuan KWSP dan AKPK ini membuka fikiran saya untuk urus dari bangku sekolah lagi, biarpun saya bukan seorang pencarum,” katanya.

TINGGALKAN PESANAN