Pasaran getah Malaysia meneruskan aliran menaik

279
Pasaran getah Malaysia meneruskan aliran menaik

Berdasarkan berita FMT news, pasaran getah Malaysia meneruskan aliran menaik pada minggu depan selepas disokong oleh momentum belian yang berterusan berikutan keyakinan daripada permintaan global.

Seorang peniaga berkata kelemahan nilai ringgit telah mendorong permintaan luar negara yang lebih kukuh dan sesetengah peneraju bimbang bahawa kejatuhan nilai getah tempatan, khususnya SMR 20 akan menguji tahap yang lebih tinggi lagi.

“Ada kemungkinan SMR 20 akan mencecah tahap 807 sen lagi.

“Pembelian spekulatif, penyusutan ringgit yang berterusan (berbanding dolar US), pengukuhan harga minyak mentah, disertai sentimen positif dari pasaran serantau yang lain boleh melonjakkan harga tempatan,” katanya.

Tahap 807 sen, yang tertinggi sejak September 2013, hampir di atasi pada bulan lepas di mana ringgit diniagakan pada 4.46 berbanding dolar US. Pada hari Jumaat, mata wang tempatan itu diniagakan pada 4.42 berbanding dolar.

Beliau bagaimanapun agak berhati-hati bahawa aktiviti pengambilan keuntungan juga boleh berlaku dalam minggu depan jika faktor-faktor luaran diambil kira.

“Pasaran getah Asia berada dalam momentum menaik baru-baru ini disebabkan oleh pengukuhan dolar sehingga menjadikan komoditi tersebut semakin murah, berikutan kelemahan mata wang tempatan.

“Jika dolar membuat penurunan, dan harga minyak juga turun, kita mungkin akan melihat fasa pengambilan keuntungan pada pasaran getah tempatan kerana ia telah membuat banyak keuntungan dalam beberapa sesi sebelum ini,” katanya.

Bagi minggu yang baru berakhir, dagangan melonjak tetapi bercampur-campur menjelang penutupan dengan permintaan bagi gred tayar SMR 20 kekal utuh.

Dari Jumaat lepas ke Jumaat semalam, harga tengah hari Lembaga Getah Malaysia untuk SMR 20 menokok sebanyak 35 sen kepada 785 sen sekilogram dan lateks pukal bertambah sebanyak 13.5 sen untuk 588 sen sekilogram.

Harga penutup tidak rasmi 5 pm bagi SMR 20 naik 22.5 sen kepada 788 sen sekilogram, makala lateks pukal naik 15 sen kepada 587.5 sen sekilogram.

TINGGALKAN PESANAN