Pakar ekonomi cadang model Islam atasi ketidaksamaan kekayaan

37

Kamal Salih dari Universiti Malaya berkata model ekonomi Islam akan membolehkan rakyat mencari kekayaan, yang mesti dikongsi dengan golongan kurang bernasib baik.

Ahli ekonomi Kamal Salih berkata kegagalan institusi menyebabkan kerajaan terjatuh ‘ke dalam paya”.

KUALA LUMPUR: Pakar ekonomi, Tan Sri Dr Kamal Salih hari ini mencadangkan model ekonomi Islam yang diasaskan kepada keperluan dan berada “di antara sistem kapitalis dan sistem sosialis” bagi mengatasi masalah ketidaksamaan kekayaan di negara ini.

Beliau berkata model itu boleh digunakan sebagai alternatif kepada Model Ekonomi Baru (NEM) dicadangkan kerajaan sebelum ini.

Profesor adjung di Universiti Malaya itu berkata, oleh sebab 70% orang Melayu tidak mengundi Pakatan Harapan (PH) dalam pilihan raya umum lepas, adalah sukar untuk mengetepikan polisi berkaitan Bumiputera, walaupun faktor ras tidak menjadi penentu ketidaksamaan kekayaan.

“Ketidaksamaan dalam masyarakat Cina lebih buruk sekarang berbanding sebelum ini,” katanya kepada media selepas pertemuan dengan Majlis Penasihat Kerajaan, hari ini.

Katanya, NEM diperkenalkan bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 2010 dengan matlamat menggandakan pendapatan perkapita negara menjelang 2020.

Kamal berkata, beliau kini meneliti cara bagaimana menangani masalah ketidaksamaan, dan menyebut sistem sedia ada bersifat pro-perniagaan, kapitalis dan lebih didorong oleh margin keuntungan.

Beliau juga berkata, kegagalan sistem yang dicuba oleh kerajaan sepanjang 40 tahun lepas bukan disebabkan kelemahan sistemik, tetapi kerana kelemahan institusi dan menegaskan masalah itu perlu diatasi.

Kamal berkata kegagalan institusi dalam tempoh 10 tahun lepas menunjukkan kerajaan sebelum ini “terjatuh ke dalam paya”.

“Sudah 10 tahun saya meneliti perkara ini, model ekonomi Islam yang berada di antara sebuah sistem kapitalis dengan sisi sosialis sebuah sistem pasaran.”

Walaupun penduduk Malaysia terdiri daripada 70% orang Islam dan 30% bukan Islam, beliau berkata, sistem nilai model ekonomi Islam bersifat universal.

Beliau berkata, orang bukan-Islam juga tidak akan bersetuju dengan riba (faedah) dan semua golongan mengambil peduli tentang kebajikan masyarakat dan pemuliharaan alam sekitar.

“Ia bukan model yang berlawanan tetapi perlu diterima oleh semua pihak,” katanya dan menambah, ia menjurus kepada ekonomi perkongsian yang turut diteliti oleh dunia Barat.

“Wujud contoh bersaling bagi model ini, iaitu model ekonomi solidariti sosial berdasarkan sistem demokrasi sosial Norway.”

Dalam sistem itu, katanya, kerajaan memainkan peranan besar dalam pengagihan kekayaan tetapi sistem itu melibatkan cukai yang tinggi yang tidak mampu dibayar rakyat Malaysia.

Dalam model ekonomi Islam katanya, rakyat boleh mencari kekayaan sebanyak mana mereka mahu, tetapi mereka juga perlu berkongsi dengan golongan kurang bernasib baik.

Katanya terdapat beberapa isu praktikal yang perlu dikaji lebih mendalam, seperti pematuhan Syariah, tetapi secara keseluruhan model ekonomi Islam lebih holistik.

“Model Islam adalah berasaskan-keperluan, ia bukan polisi Bumiputera, tetapi didasarkan kepada Islam dan golongan minoriti dilindungi dalam Islam.

Tentang bagaimana perkara seperti alkohol dan judi sesuai dengan model tersebut, Kamal berkata pelaksanaannya perlu disesuaikan dengan realiti kerana kewujudan sektor ekonomi bukan-Islam.

TINGGALKAN PESANAN