Malaysia tidak mampu menjadi negara maju menjelang 2020 Dewan Perniagaan

219
Malaysia tidak mampu menjadi negara maju menjelang 2020 Dewan Perniagaan

Semua ahli DPMM daripada pelbagai sektor juga sependapat matlamat 2017 ialah terus kekal berdaya tahan bagi menghadapi cabaran, bukannya memikirkan cara mengembangkan perniagaan.

Malaysia tidak mampu mencapai sasaran negara berpendapatan tinggi menjelang 2020 dan lebih teruk lagi rakyat berpendapatan sederhana kini menjadi golongan berpendapatan rendah, kata presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM).

Datuk Syed Ali Al-Attas dipetik Sin Chew Daily berkata, semua ahlinya daripada pelbagai sektor juga sependapat matlamat tahun depan ialah terus kekal berdaya tahan bagi menghadapi cabaran, bukannya memikirkan cara mengembangkan perniagaan.

Katanya, penurunan nilai ringgit menyebabkan makanan import semakin mahal, tetapi pendapatan rakyat tidak berubah, contohnya 60% penjawat awam ialah golongan miskin kerana gaji RM2,000 ke bawah, manakala mereka yang bergaji RM3,000 hingga RM4,000 menjadi golongan berpendapatan rendah.

“Ada di kalangan pengurus besar dan timbalan pengurus besar hotel 5 bintang kini terpaksa bekerja di hotel 2 bintang demi survival.

“Masalah yang kita hadapi hari ini ialah 2017 akan mengalami kemerosotan, manakala pendapatan negara pula tidak berkembang, tetapi perbelanjaan semakin tinggi,” katanya pada sidang media di ibu pejabat DPMM, semalam.

Katanya, Malaysia berdepan krisis makanan kerana negara tidak menumpukan industri pertanian, di mana banyak makanan bergantung kepada pengimportan yang menyebabkan harga makanan semakin mahal.

Beliau memberi contoh rakyat Malaysia makan 1.5 juta ekor ayam sehari berbanding orang Afrika yang hanya makan seekor ayam dalam tempoh 2 minggu, tetapi jagung yang menjadi makanan ayam diimport dari Brazil dan harganya turut mengalami kenaikan.

Sehubungan itu, beliau berharap kerajaan mengarahkan universiti tempatan mengkaji cara meningkatkan pengeluaran hasil pertanian dan bekalan makanan bagi menampung keperluan rakyat.

Katanya, Malaysia tidak boleh ketinggalan lagi dan perlu memanfaatkan tanah terbiar bagi kegunaan pertanian kerana negara serantau seperti Thailand dan Vietnam giat membangunkan sektor pertanian, malah Singapura turut menggalakan penanaman di bumbung bangunan. Berita sumber daripada freemalaysiatoday.

TINGGALKAN PESANAN