Wednesday, November 21, 2018
Laman Utama Berita Lokal Makan sambil beli pakaian terpakai

Makan sambil beli pakaian terpakai

32

Set bebola daging ini dijual pada harga RM8.

DUA sahabat, Reddzuan Ab. Rashid, 33, dan Zaimirul Zainol, 27, memperkenalkan konsep perniagaan yang unik iaitu kafe makanan serta perniagaan pakaian terpakai atau bundle secara serentak.

Pendekatan seperti itu jarang dilakukan dan ternyata percaturan dua individu tersebut membuahkan hasil.

Mereka memperoleh pendapatan yang memberangsangkan sejak perniagaan itu dimulakan pada awal bulan Jun lalu.

Menurut Reddzuan, Wan’s Kuay Teow Jalan Madu X@1991 Cafe dan Bundle yang beroperasi di Jalan Santan, Batu 1/4 Kampung Repoh, Kangar, Perlis itu memberikan dua opsyen kepada setiap pelanggan.

“Selain menjamu mata dengan rangkaian baju, seluar, beg, tali pinggang, kasut sukan dan dompet terpakai yang berharga bermula daripada RM5, pelanggan boleh merasai keunikan makanan dan minuman di premis kami.

“Menu istimewa kami ialah char kuetiau, kuetiau goreng yang menggunakan sos kicap hasil ramuan tersendiri.

“Rasa sos kicap buatan sendiri hasil gabungan ramuan seperti gula, garam dan kicap memberikan aroma tersendiri yang memikat pelanggan.

“Setiap hari secara purata 200 pinggan pelbagai jenis masakan berasaskan kuetiau terjual yang harganya bermula RM4.50 hingga RM7,” katanya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.

Pengalaman

Bapa kepada empat cahaya mata itu memberitahu, dia berpengalaman lebih 15 tahun mengusahakan kafe yang menjual makanan berasaskan kuetiau.

Seorang pelanggan, Mustaqim Azwan, 26, yang merupakan pelajar Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) berkata, dia adalah penggemar masakan berasaskan kuetiau.

“Kuetiau goreng kerang di kafe ini sangat sedap kerana cukup rasa. Ada rasa masin, pedas dan manis. Selain itu, kurang berminyak dan ia menyihatkan,” katanya.

Sementara itu, rakannya, Shafiq Ghapur, 26, baru pertama kali merasai char kuetiau di kafe itu.

“Rasanya sama seperti char keutiau yang terkenal di Pulau Pinang. Jadi, saya tidak perlu pergi jauh untuk menikmati makanan yang lazat ini,” katanya.

Dalam pada itu, rakan bisnes Reddzuan iaitu Zaimirul pula pakar dalam menghasilkan chicken chop dan bebola daging.

“Bagi chicken chop dan bebola daging di kafe ini sama seperti di premis makanan lain cuma keistimewaannya terletak pada kentang putar.

“Ia menggunakan kentang yang berkualiti tinggi selain adunan kuahnya seperti susu segar, lada hitam dan kiub ayam memberikan sensasi rasa yang berbeza.

“Jangan terkejut kerana terdapat sos beri disertakan sebagai nilai tambah kepada pelanggan,” katanya.

Chicken chop berharga RM12 manakala bebola daging pula RM8.

Kafe ini mempunyai 20 buah meja yang mampu memuatkan 100 pelanggan pada satu masa.

TINGGALKAN PESANAN