Langkah Trump menyekat Muslim masuk ke Amerika memberikan kesan langsung kepada kumpulan kumpulan ini

240
syrian-refugee.jpg

Arahan terbaru Presiden Donald Trump yang menguatkuasakan larangan sementara kemasukan pelarian dan warganegara dari 7 negara Islam, mengejutkan banyak pihak terutama bagi mereka yang sudah pun berada dalam penerbangan  ke Amerika Syarikat, pada Jumaat lalu.

Pegawai pentadbiran melaporkan 109 individu ditahan ketika tiba di AS pada Sabtu, dengan ramai lagi individu masih ditahan setakat pagi semalam.

Berikut ialah senarai warganegara dan kumpulan individu yang terjejas akibat arahan Trump, menerusi langkah eksekutif yang bertajuk “Melindungi Negara daripada Kemasukan Pengganas Asing ke AS”.

Pelarian

Perintah itu melarang kemasukan semua pelarian, tanpa mengira kerakyatan dari masuk ke Amerika dan tempohnya selama 120 hari. Selepas tempoh itu, AS akan menerima kemasukan maksimum 50,000 pelarian mawal 2017, lebih separuh daripada had 110,000 orang yang ditetapkan bekas presiden Barack Obama.

Program pelarian AS sebelum ini dibekukan selama 3 bulan susulan serangan 11 September 2001.

Rakyat Syria

Semua warga Syria, sama ada pelarian atau tidak, dilarang memasuki AS sehingga notis lain dikeluarkan.

Menurut Pesuruhjaya Tinggi untuk Pelarian Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, perang Syria menyebabkan 4.8 juta rakyatnya lari meninggalkan negara itu sejak 2011.

Badan pemantau hak asasi manusia Syria berkata pada Disember ia merekodkan 312,001 kematian sejak konflik itu bermula dengan protes anti kerajaan pada Mac 2011.

Iran, Iraq, Yaman, Somalia, Sudan dan Libya

Tiada visa akan dikeluarkan bagi 90 hari kepada pendatang asing atau pelawat dari 7 negara majoriti Islam; Iran, Iraq, Libya, Somalia, Sudan, Syria dan Yaman.

Pemegang kad hijau

Perintah itu tidak menjejaskan mereka yang memegang kad hijau AS. Setiausaha Keselamatan Dalam Negeri John Kelly berkata kemasukan penduduk tetap yang sah merupakan “kepentingan negara”.

Bagaimanapun, Ketua Kakitangan White House Reince Priebus berkata warganegara dari 7 negara yang dinamakan dalam perintah itu perlu menjangkakan mereka tertakluk kepada lebih pemeriksaan di sempadan.

Pemegang visa

Semua pemegang visa dari 7 negara berkenaan tertakluk kepada perintah baharu, dengan pengecualian diberi kepada mereka yang memegang visa diplomatik atau visa kepada institusi antarabangsa seperti Nato atau PBB.

Hakim di sekurang-kurangnya 4 negeri menghalang sebahagian sekatan itu, memerintahkan pihak berkuasa berhenti menghantar pulang pelarian dan ramai pengembara lain terkandas di lapangan terbang AS.

Pemilik 2 kerakyatan

Situasi bagi individu yang mempunyai 2 kerakyatan juga dalam keadaan kompleks. Pegawai Amerika pada Sabtu lalu berkata warganegara AS yang juga mempunyai pasport daripada mana-mana 7 negara yang disekat masuk tidak terlibat dalam arahan  itu.

Pengecualian juga diberikan kepada pemegang 2 kerakyatan yang mempunyai 2 pasport iaitu Britain dan Kanada.

Britain berkata rakyatnya tidak akan tertakluk kepada pemeriksaan tambahan kecuali jika perjalanan mereka terus ke AS dari salah satu negara yang disekat.

TINGGALKAN PESANAN