Thursday, December 12, 2019
Laman Utama Berita Lokal Kerajaan minta Prasarana kurangkan kos LRT3

Kerajaan minta Prasarana kurangkan kos LRT3

178

Lim Guan Eng – Foto Bernama

PUTRAJAYA – Prasarana Malaysia perlu mengurangkan kos projek laluan Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) lebih RM6 bilion supaya projek di koridor barat Lembah Klang itu dapat diteruskan.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata peningkatan kos keseluruhan projek LRT3 kira-kira RM31.45 bilion berlaku akibat kelemahan pengurusan Prasarana.

Kos projek melibatkan jajaran sepanjang 37 kilometer itu pada awalnya dianggarkan kira-kira RM10 bilion sahaja.

“Terdapat beberapa laporan media bahawa kos LRT3 boleh dikurangkan RM6 bilion.

“Kementerian ingin menegaskan kos projek perlu dikurangkan jauh lebih daripada RM6 bilion supaya projek tersebut dapat diteruskan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam kenyataan sama, Guan Eng memaklumkan Prasarana memperolehi jaminan kerajaan untuk meminjam RM10 bilion bagi membiayai projek tersebut.

“Namun, pada 30 Mac 2018, Prasarana telah meminta jaminan kerajaan tambahan sebanyak RM22 bilion bagi membiayai pinjaman untuk menyiapkan projek LRT3 ini.

“Pihak kementerian telah mengarahkan Prasarana untuk menyemak semula segala kos projek dan kita tidak akan menyokong sebarang pembiayaan tambahan jika tiada pengurangan kos LRT3 yang drastik.

“Pada masa yang sama ia tidak menjejaskan integriti jajaran rel, keselamatan dan kualiti perkhidmatan yang diberikan,” katanya.

Menurut Guan Eng, projek LRT3 merupakan projek utama bagi menyelesaikan isu kesesakan lalu lintas dalam kepadatan penduduk.

Katanya, projek LRT3 adalah kritikal kerana ia menawarkan perkhidmatan meliputi kepadatan penduduk seramai 2 juta orang yang menampung seramai 36,700 penumpang sejam setiap hala.

TINGGALKAN PESANAN