Kempen Pilihan Raya Presiden Mesir 2018 bermula

262

KAHERAH – Kempen Pilihan Raya Mesir telah bermula dan Presiden Abdel Fattah al-Sisi dijangka menang dengan mudah selepas beberapa pesaingnya ditahan, didakwa atau dipaksa keluar daripada pemilihan itu.

Pemimpin parti berhaluan sederhana, Moussa Mostafa Moussa yang menghantar borang pencalonan secara rasmi beberapa minit sebelum tempoh ditetapkan berakhir turut menyindir al-Sisi sebagai ‘calon tunggal’.

Jurucakap Suruhanjaya Pilihan Raya, Mahmoud al-Sherif berkata, mereka tidak menerima sebarang cabaran undang-undang ke atas kedua-dua calon tersebut atau bantahan terhadap kelayakan mereka.

Jelasnya, kempen tersebut akan berlangsung selama 28 hari sehingga 23 Mac depan manakala calon yang mahu menarik diri diberi tempoh sehingga 1 Mac ini.

Difahamkan, seramai enam juta penduduk layak untuk menunaikan tanggungjawab mereka pada pemilihan kali ini.

Sebelum ini, beberapa kumpulan hak asasi manusia telah mengecam pilihan raya itu manakala pemimpin pembangkang menggesa seluruh rakyat supaya memboikot pemilihan tersebut kerana mendakwa kerajaan pimpinan al-Sisi sengaja menghalang persaingan yang adil.

TINGGALKAN PESANAN