Kashmir bergolak lagi

242

SRINAGAR – INDIA. Tentera India dan Pakistan saling berbalas tembakan di wilayah Kashmir yang dipertikaikan, memaksa ratusan penduduk melarikan diri, menurut polis di bahagian wilayah India itu.

Kejadian terbaharu itu menimbulkan tanda tanya tentang perjanjian gencatan senjata yang dicapai 15 tahun lalu.

Masih belum jelas punca pertempuran terbaru di sempadan kawalan ketenteraan yang memisahkan kedua-dua negara yang masing-masing memiliki keupayaan nuklear.

Namun, ketegangan meningkat sejak berlakunya serangan ke atas sebuah kem tentera India di Kashmir bulan ini, yang meragut nyawa enam askar.

India menuduh Pakistan melancarkan serangan itu dan menyatakan akan membalas dendam terhadap tindakannya.

Superintenden Polis Imtiaz Hussain berkata, peluru serangan meriam tentera Pakistan jatuh di kawasan Uri dan beratus-ratus penduduk terpaksa lari meninggalkan rumah mereka.

Tentera India membalas dengan tembakan meriamnya sendiri, kata seorang pegawai India, kali pertama senjata berat itu digunakan sejak gencatan senjata 2003.

Pakistan tidak membuat sebarang kenyataan setakat ini.

Namun, Hussain berkata pihak berkuasa Pakistan membuat pengumuman dari sebuah masjid, menggesa penduduk yang tinggal dekat kawasan sempadan di bahagian India untuk melarikan diri kerana situasinya teruk.

Sekurang-kurangnya 700 penduduk mendapatkan perlindungan di sebuah sekolah di Uri, katanya.

India dan Pakistan pernah berperang sebanyak dua kali berhubung Kashmir, sejak kemerdekaan dari Britain pada 1947.

Negara berjiran itu mendakwa wilayah Kashmir tidak dibahagikan sepenuhnya semasa pemisahan dan mentadbir bahagian berasingan.

TINGGALKAN PESANAN