Tuesday, November 20, 2018

Hujan lebat, banjir jejas China

34
Sebahagian kawasan di China ditenggelami banjir.

BEIJING – CHINA. Hujan lebat dan ribut petir telah menyebabkan kemusnahan di seluruh China yang mana puluhan ribu penduduk terpaksa berpindah selepas banjir memusnahkan jambatan, menghalang laluan dan landasan kereta api, menurut media tempatan, hari ini.

Stesen TV melaporkan 241 sungai di 24 wilayah melimpah sejak beberapa hari lalu telah mengakibatkan kerugian ekonomi langsung AS$3.87 bilion (RM15.6 bilion).

Pihak berkuasa ramalan kaji cuaca menjangkakan hujan berterusan dengan banjir dan tanah runtuh di wilayah barat daya Sichuan.

Sementara itu, Pusat Meteorologi Kebangsaan memaklumkan taburan hujan boleh mencecah sehingga 80 milimeter sejam di beberapa wilayah.

“Sungai Yangtze yang mengalir dari Yunnan ke Jiangsu dan Shanghai telah menyaksikan peningkatan ketara,” ujar agensi itu dalam satu kenyataan.

Semalam, agensi berita Xinhua melaporkan lebih 10 lebuh raya di wilayah Sichuan tidak dapat diakses akibat banjir.

“Lebih 80,000 dipindahkan dari bandar Chongqing. Hujan berterusan selama seminggu yang menyebabkan banjir kilat telah meragut 15 nyawa di Gansu manakala lebih sejuta yang lain terjejas,” lapor Xinhua. – Reuters

TINGGALKAN PESANAN