Ekonomi Asia, Malaysia berdaya tahan

64

Kuala Lumpur: Bekas Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz percaya ekonomi Asia berdaya tahan daripada terkesan dengan perang perdagangan antara China dan Amerika Syarikat (AS).

“Dalam perang perdagangan seperti ini, ia tidak memanfaatkan sesiapa. Namun saya percaya dengan daya tahan dimiliki ekonomi Asia dan kita akan menunjukkan daya tahan ini mampu menuju ke hadapan,” katanya yang juga ahli Majlis Penasihat Kerajaan (MPK) kepada pemberita di sini, semalam.

Zeti mengulas pertanyaan mengenai impak daripada tindakan AS mahu mengenakan tarif kepada import China berjumlah AS$200 bilion kepada pasaran global dan juga Malaysia.

Pentadbiran Presiden AS, Donald Trump dilaporkan mahu mengenakan 10 peratus tarif kepada tambahan AS$200 bilion import China yang sekali gus meningkatkan lagi ketegangan dalam perang perdagangan di antara kedua-dua negara terbabit.

Ribuan barangan import dari China akan terjejas dengan tarif itu antaranya produk tembakau, kimia, arang batu, keluli dan aluminium serta pelbagai produk penguna seperti tayar kereta, perabot, basikal dan produk kayu.

Minggu lalu, kerajaan AS mengenakan 25 peratus tarif terhadap import China bernilai AS$34 bilion dan China bertindak balas dengan mengenakan tarif sama kepada eksport AS ke China.

TINGGALKAN PESANAN