China labur AS$14.6b bangunkan ekonomi digital

37

CHINA akan melabur 100 bilion yuan (kira-kira AS$14.6 bilion) untuk membangunkan ekonomi digital dalam tempoh lima tahun akan datang, lapor agensi berita Xinhua pada Rabu memetik satu perjanjian yang dimeterai di Persidangan Antarabangsa mengenai Ekonomi Digital dan Jalur Sutera Digital.

Pelaburan itu akan disalurkan kepada projek-projek data besar, Internet benda (IoT), pengkomputeran awan, bandar pintar dan Jalur Sutera digital, menurut perjanjian yang dimeterai antara Bank Pembangunan China dengan Suruhanjaya Pembangunan dan Pembaharuan Nasional.

Pembangunan ekonomi digital telah disenaraikan sebagai satu tugas penting untuk membina ekonomi moden di China dan mencapai pembangunan berkualiti tinggi.

China telah mencapai banyak kemajuan dalam bidang ini sejak beberapa tahun lepas dengan melancarkan pelbagai langkah, termasuk strategi data besar nasional.

Satu laporan yang dikeluarkan oleh Pentadbiran Ruang Siber China menyatakan bahawa ekonomi digital negara itu berkembang kepada 27.2 trilion yuan tahun lepas, menyaksikan peningkatan sebanyak 20.3 peratus tahun ke tahun, dan menyumbang 32.9 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Persidangan dua hari itu, yang berlangsung di Hangzhou, sebuah bandar di Wilayah Zhejiang, bermula pada Selasa. – Bernama

TINGGALKAN PESANAN