BNM mengesahkan Kad PayWave selamat digunakan dan tidak mudah diklon

118
visa malaysia

Dari artikel yang disiarkan oleh FMT, Bank negara Malaysia telah mengeluarkan kenyataan bahawa kad Paywave ini mempunyai ciri keselamatan yang tinggi dan ianya tidak mudah diklon.

Sehubungan itu, BNM menafikan berjuta-juta pengguna kad ATM dan kad kredit PayWave terdedah kepada penyeluk saku elektronik.

BNM dalam satu kenyataan berkata, kad tanpa sentuh itu dilengkapi ciri keselamatan termasuk cip yang mengandungi kod dinamik bagi setiap transaksi dan pemegang kad dikehendaki memasukkan kod pengesahan transaksi (TAC) untuk urus niaga kad dalam talian dan maklumat penting dalam kad tidak boleh dicuri secara elektronik.

BNM turut menasihatkan pemegang kad menghubungi bank dengan segera, jika kad mereka hilang atau dicuri atau nombor pengenalan peribadi (PIN) mereka terjejas atau berlaku transaksi tidak dibenarkan menggunakan kad mereka.

Bermula 1 Julai 2017, semua pembayaran transaksi kad menggunakan kad pembayaran keluaran tempatan di terminal semasa jualan (POS) di Malaysia hanya boleh dilakukan menggunakan PIN dan pengesahan menggunakan tandatangan tidak lagi digunakan.

Langkah memindahkan kad pembayaran berasaskan PIN bagi transaksi POS bertujuan meningkatkan keselamatan dan melindungi kepentingan pemegang kad.

Oktober lalu, BNM memberi jaminan kad tanpa sentuh yang dilengkapi ciri keselamatan terkini adalah instrumen pembayaran sangat selamat dan hampir mustahil dipalsukan.

Bagaimanapun, pada 7 Disember lalu, FMT memetik Penolong Setiausaha Agung Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Bank (NUBE), A Karuna sebagai berkata, kad ATM, debit dan kredit baharu itu mungkin lebih mudah terdedah kepada kecurian data kerana pencuri boleh menggunakan alat khas yang dapat memantulkan maklumat kad mereka secara magnetik.

“Dengan menggerakkan alat di hadapan kad pengguna, maklumat pengguna boleh dicuri. Jadi bukankah ini bermaksud orang lain boleh menggunakan alat sama untuk mencuri maklumat?” katanya merujuk sebuah video YouTube yang menunjukkan bagaimana maklumat dicuri daripada kad PayWave.

Semalam, pakar keselamatan teknologi maklumat, Mohd Nizam Mohd Salleh yang dipetik Harian Metro turut mendakwa cip baharu kad debit yang diperkenalkan awal tahun ini lebih berisiko terdedah kepada kecurian data.

Katanya, penjenayah boleh mengesan gelombang radio transaksi itu dalam jarak kurang 1m melalui aplikasi dimuat turun ke telefon pintar dan selepas data diperolehi, mereka boleh melakukan transaksi dengan mengimbas telefon pintar di mesin PayWave.

TINGGALKAN PESANAN