Wednesday, November 21, 2018
Laman Utama Berita Lokal Belajar buat dompet di YouTube sejam sehari

Belajar buat dompet di YouTube sejam sehari

48
Naim Mukhlas (kiri) melayan pelanggan yang berminat dengan produk Local Handmade.

Naim 
Mukhlis Mohd. Nor serius menjalankan perniagaan barangan kulit sejak 2013 yang dikenali sebagai Local Handmade dan kini beroperasi di Kampung Kutan Tengah, Wakaf Bharu, Kelantan.

Siapa sangka bermula dengan cuba-cuba menghasilkan dompet kulit untuk dipakai sendiri telah memberikan idea kepada anak jati Wakaf Bharu, Kelantan, Naim Mukhlis Mohd. Nor, 26, untuk menjadikannya sebagai sumber pendapatan.

Bekas penuntut Kolej Poly-Tech MARA (KPTM), Ipoh, Perak jurusan Diploma Multimedia itu pada mulanya hanya membuat dompet bersaiz panjang daripada kulit terpakai yang dibelinya di pasar karat.

Pada masa itu, Naim Mukhlis yang sedang menjalani latihan praktikal hanya mempelajari cara-cara menghasilkan dompet berkenaan melalui laman YouTube sehingga berjaya menyiapkan dompet tersebut mengikut cita rasanya sendiri.

Menurut Naim Mukhlis, dia tidak menghadiri sebarang kursus untuk mempelajari cara-cara pembuatan barangan kulit.

Sebaliknya, dia hanya meluangkan masa lebih sejam menonton YouTube.

Perniagaan barangan kulitnya yang dikenali sebagai Local Handmade itu terletak di Kampung Kutan Tengah, Wakaf Bharu.

Katanya, sehingga kini dia masih menonton YouTube untuk belajar menghasilkan rekaan yang unik untuk kepuasan pelanggan.

“Selepas membeli sedikit perkakasan dan kulit tersebut, saya belajar melalui YouTube tentang cara-cara membuat dompet. Selepas dompet siap, saya pakai dan seorang rakan yang berminat dengan dompet tersebut meminta saya untuk membuatkan untuknya.

“Saya lihat barang kulit ini boleh menjana pendapatan. Jadi, saya mula menghasilkan beberapa produk lain seperti tali pinggang dan beg silang untuk dijual.

“Selepas tamat latihan praktikal, saya menggunakan hasil keuntungan daripada jualan tersebut untuk menyewa sebuah kedai di Sungai Besi, Kuala Lumpur bersama rakan kongsi, Mohamad Fariz Mohamad Shahir, 26,” katanya ketika ditemui di kedainya di Wakaf Bharu baru-baru ini.

Jelasnya lagi, dia menyewa kedai berkenaan apabila barangan kulit yang dihasilkannya semakin banyak dan tidak boleh disimpan di dalam bilik berikutan ia berbau. Dia mula berniaga secara serius pada tahun 2013 hingga 2016.

Dia kemudiannya mengambil keputusan pulang ke kampung halamannya apabila mendapati pelanggan lebih cenderung membeli dalam talian berbanding di kedai.

Antara barangan kulit yang dihasilkannya ialah dompet, tali pinggang, sarung pisau, beg tembakau dan beg komputer riba yang kebanyakannya diperbuat daripada kulit kerbau dan lembu.

Pembekal kulit

Bagi menjaga kualiti produk yang dihasilkan, dia mendapatkan bekalan kulit daripada pembekal di Kuala Lumpur.

Pembekal berkenaan mengimport kulit tersebut dari Amerika Syarikat, Indonesia, Pakistan, India, Perancis, Itali dan Argentina.

“Produk yang dihasilkan di Local Handmade menggunakan kulit tebal, sekali gus ia lebih tahan lama. Sekiranya rosak, pelanggan boleh menghantar semula ke kedai untuk dibaiki. Namun, sekiranya tidak boleh dibaiki, kami akan menggantikannya dengan yang baharu.

“Selain itu, semua barangan kulit di sini direka mengikut gaya lama tetapi ia tidak ketinggalan zaman. Paling penting, ia dijahit dengan jahitan tangan menggunakan benang poliester yang diimport bagi menghasilkan produk yang bermutu tinggi.” katanya yang dibantu empat orang pekerja.

Jelasnya lagi, produknya bukan sahaja digemari pelanggan orang tempatan, malah pelanggan dari Sabah, Sarawak, Brunei serta luar negara, Australia yang mengakui terpikat dengan jahitan kemas serta rekaan yang dihasilkan di Local Handmade.

Ujarnya lagi, jabatan kerajaan dan swasta di negeri ini turut menempah produk seperti tali pinggang, dompet serta tempat sarung kad. Golongan penternak juga tidak terkecuali menempah sarung pisau untuk kegunaan harian mereka.

Kekemasan

“Boleh dikatakan orang Kelantan terutamanya di sekitar Wakaf Bharu mengetahui kewujudan Local Handmade yang mereka sebut Kedai Kulit Kute.

“Kalau musim cuti sekolah, orang Kelantan yang duduk di luar memang serbu kedai. Jadi sebagai peniaga, kami rasa gembira kerana mereka menghargai kerja keras kami,” katanya.

Tambahnya, hanya mereka yang tahu menghargai kerja-kerja tangan kraf kulit dapat menilainya dari segi kekemasan jahitan dan kesenian rekaan.

Menurut pekerjanya, Ahmad Mursyid Mohd. Nor, 21, rutin hariannya adalah menghasilkan rekaan yang telah diluluskan selain memastikan teknik jahitan dan kekemasan sebagai penanda aras bahawa produk yang dihasilkan memenuhi permintaan pelanggan.

Baginya, asalkan mempunyai kesabaran yang tinggi, fokus dan tekun melakukan sesuatu, sudah memadai untuk mendalami ilmu kraf kulit.

Dia mengakui, pernah beberapa kali tersalah buat ketika awal pembabitannya, namun dia tidak pernah berputus asa malah berusaha setiap hari agar dapat menghasilkan barangan yang berkualiti tinggi.

‘Ini kerana kerja-kerja menjahit kulit adalah rumit dan perlu mengikut reka bentuk yang dikehendaki dan jika tersalah jahit, ia terpaksa dibuka dan dijahit semula.

“Dalam sehari boleh buat empat hingga lima beg kepit atau clutch dan mengambil masa kira-kira lebih sejam untuk menghasilkan rekaan mengikut cita rasa pelanggan yang pelbagai.

Pelanggan tetap

“Saya akan memastikan setiap jahitan tangan nampak sama seperti jahitan mesin iaitu konsisten dan susunan jaraknya tepat antara satu sama lain, yang akhirnya menghasilkan kekemasan barangan tersebut,” ujarnya.

Jelasnya, adakalanya dia tertekan untuk memenuhi selera pelanggan yang mahu rekaan pelik dan sukar untuk dihasilkan seperti bentuk memanjang dan melintang.

Ujarnya, walaupun tempahan yang diterima tidak begitu banyak, namun mereka mempunyai pelanggan tetap yang membeli dompet dan beg.

Selain itu, kedai tersebut turut menerima tempahan untuk barangan hantaran yang boleh dicop nama pasangan masing-masing.

Katanya, rekaan buatan sendiri yang laris ialah dompet seakan-akan origami iaitu Pak Itam dan Ulong.

Peminat barangan kulit, Aunullah Zakwan Mohamed, 28, berkata, dia meminati barangan kulit sejak di bangku sekolah lagi dan menganggapnya tidak luput ditelan zaman.

Dia yang merupakan graduan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai, Negeri Sembilan lebih meminati koleksi dompet kulit dan tidak kisah jika perlu melabur wang yang banyak untuk memilikinya.

“Barangan yang diperbuat daripada kulit sentiasa mendapat tempat di hati saya kerana ia membuatkan saya nampak lebih bergaya. Ia juga tahan lama, namun bergantung bagaimana kita menjaga barangan tersebut seperti dikilatkan dengan pengilat khas supaya sentiasa berada dalam keadaan baik dan tidak berkulat,” katanya.

Dalam pada itu, Aunullah Zakwan memberitahu, dia turut berminat untuk mempelajari lebih lanjut tentang seni kraf kulit dan turut bercita-cita untuk membuka perniagaan tersebut suatu hari nanti.

Jelasnya, jika mendapat peluang, dia pasti akan membuka perniagaannya sendiri kerana industri kraf boleh berkembang selain tidak ramai yang memilih untuk menceburi bidang tersebut terutamanya golongan muda.

TINGGALKAN PESANAN