Banjir semakin buruk di Jepun

163

69 orang terkorban, lebih dua juta penduduk diminta berpindah

BANYAK kediaman digenangi air selepas hujan lebat di bandar Kurashiki, wilayah Okayama di barat laut Jepun semalam.

TOKYO – Hujan lebat yang mengorbankan sekurang-kurangnya 69 orang turut mengakibatkan 1,850 penduduk terkandas di bandar Kurashiki, barat Jepun semalam termasuk kira-kira 130 orang di sebuah hospital.

Kurashiki yang mempunyai populasi hampir 500,000 orang, paling teruk terjejas akibat hujan lebat yang melanda sebahagian kawasan di barat Jepun. Angka korban bencana banjir kali ini adalah yang tertinggi sejak tahun 2014.

Berpuluh-puluh pesakit, sesetengahnya masih lagi memakai baju tidur, diselamatkan dari Hospital Memorial Mabi dengan menggunakan sejumlah bot oleh anggota tentera Jepun.

“Saya amat berterima kasih kepada anggota-anggota penyelamat,” kata serang pesakit berusia 79 tahun, Shigeyuki Asano.

Seorang pegawai pentadbiran bandar Kurashiki berkata, seramai 170 pesakit dan pekerja telah dipindahkan dari hospital ber­kenaan dan seramai 130 orang lagi termasuk 70 pesakit masih menunggu untuk di­selamatkan.

Terdahulu, Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe memberi amaran bahawa pasukan penyelamat ‘mengejar masa’ untuk menyelamatkan mangsa banjir ketika pihak berkuasa mengeluarkan amaran baharu mengenai hujan lebat.

Hujan lebat itu mengakibatkan banjir kilat dan tanah runtuh di bahagian tengah dan barat Jepun serta mendorong pihak berkuasa mengeluarkan arahan berpindah kepada lebih dua juta orang.

“Ramai orang yang mana kea­daan keselamatan mereka masih belum dapat disahkan,” kata Abe ketika bermesyuarat dengan unit krisis kerajaan yang dibentuk bagi menangani bencana itu.

Hujan lebat mengakibatkan banyak perkampungan ditenggelami air dan memaksa penduduk berlindung di atas bumbung rumah sementara menunggu bantuan tiba.

Lebih dua juta orang diminta untuk berpindah tetapi arahan tersebut bukan mandatori de­ngan ramai penduduk terus berada di kediaman masing-masing dalam keadaan terperangkap sama ada oleh air banjir atau tanah runtuh.

Agensi meteorologi Jepun mengeluarkan amaran waspada peringkat tertinggi untuk dua rantau semalam, namun amaran di beberapa kawasan lain ditarik balik ekoran hujan mulai reda.

Di bandar Mihara, selatan wilayah Hiroshima, hujan reda mendedahkan kemusnahan yang berlaku.

Jalan raya berubah menjadi sungai berlumpur dengan kotoran menimbun, manakala air banjir mengalir deras di celah-celah kenderaan yang terkandas.

“Kawasan ini bertukar menjadi laut,” kata seorang penduduk bandar itu yang berusia 82 tahun, Nobue Kakumoto.

Lebih 50,000 pekerja penyelamat, anggota polis dan askar te­lah dikerahkan bagi mena­ngani bencana tersebut dan memberikan bantuan kepada mangsa banjir. – AFP

TINGGALKAN PESANAN