ATM Bitcoin pertama di Malaysia

192

PETALING JAYA: Mesin juruwang automatik (ATM) Bitcoin yang pertama di Malaysia muncul di Ipoh, Perak.

China Press melaporkan 2 pemuda yang mengasaskan Pinkexc Sdn Bhd, mengimport mesin itu lebih setahun lalu dari Portugal dengan kos RM70,000.

Sejak ATM itu beroperasi, ia mendapat sambutan daripada pelabur Bitcoin dengan purata 50 orang menggunakan mesin itu bagi menjual dan membeli mata wang digital itu setiap hari.

Setiap pelabur biasanya mengeluarkan wang tunai RM200 hingga RM300 dengan purata urus niaga bulanan mencecah RM80,000 manakala urus niaga lebih RM500 pula perlu dibuat atas talian.

Pengasas bersama Pinkexc, Fitry Daud dipetik China Press berkata, beliau mendapat idea mengimport ATM Bitcoin ketika melancong ke Jepun dan Korea di mana penggunaan mesin itu satu kebiasaan di negara berkenaan.

Katanya, mereka kemudiannya mengimport dan meletakkan mesin pertama itu di Medan Meru Bestari, Ipoh.

Beliau berkata, syarikatnya memperoleh keuntungan daripada jual beli Bitcoin seperti perniagaan tukaran wang asing.

Katanya, ATM Bitcoin bukannya mesin pengeluaran wang, sebaliknya ia mesin jualan yang boleh jual beli mata wang digital itu.

Demi mempopularkan penggunaan ATM Bitcoin di negara ini, Pinkexc giat mengemukakan permohonan kepada Bank Negara Malaysia (BNM) untuk ditempatkan di seluruh negara.

“Tetapi, BNM belum membenarkan kerana Bitcoin berada dalam senarai ‘kelabu’ BNM, iaitu bukan urus niaga sah atau haram,” katanya sambil menambah BNM perlu membenarkan urus niaga itu kerana sekarang zaman mata wang digital.

Fitry berkata, Pinkexc sedang meningkatkan perisian ATM itu supaya mata wang digital lain seperti Ethereum, Bch, Lite dan Dash boleh menggunakan mesin itu untuk menjalankan urus niaga.

November lalu, BNM dalam satu kenyataan berkata, tiada sebarang rancangan menubuh atau melantik entiti penukaran mata wang kripto rasmi di Malaysia.

“Satu peraturan akan dikeluarkan untuk menjadikan mana-mana orang atau entiti menyediakan perkhidmatan penukaran mata wang digital sebagai institusi pelapor di bawah jadual 1 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (Amla) 2001.”

Bank pusat itu berkata, ia dapat mencegah penyalahgunaan mata wang digital bagi tujuan melanggar undang-undang.

TINGGALKAN PESANAN