Tuesday, November 20, 2018
Laman Utama Ekonomi Dunia Berita Luar Negara 130 terbunuh dalam serangan bom di Pakistan

130 terbunuh dalam serangan bom di Pakistan

36

Beberapa mayat dikumpulkan di lokasi serangan bom di Mastung, semalam. – Foto: AFP

ISLAMABAD – PAKISTAN. Pengeboman yang menyasarkan perhimpunan politik sepanjang minggu lalu mencemari kempen Pilihan Raya Umum Pakistan.

Dalam kejadian terbaharu, serangan berani mati telah menyebabkan sekurang-kurangnya 130 terbunuh di daerah Mastung, wilayah Baluchistan, semalam.

Kumpulan militan Daesh mengaku bertanggungjawab mendalangi pengeboman di perhimpunan parti Baluschistan Awami (BAP) yang turut mengorbankan calon, Siraj Raisani.

Rakaman video menunjukkan Raisani sedang berucap sebelum letupan itu berlaku secara tiba-tiba.

Ketika kejadian semalam, sekurang-kurangnya empat terkorban selepas konvoi parti Muttahida Majlis-e-Amal (MMA) menjadi sasaran pengeboman di bandar Bannu.

Selasa lalu, pengebom berani mati Taliban meletupkan dirinya di perhimpunan Parti Kebangsaan Awami (ANP) di bandar Peshawar dan meragut sekurang-kurangnya 20 nyawa.

Insiden itu turut menyebabkan calon parti itu, Harron Bilour maut.

Menurut Statistik Kajian Keamanan Pakistan, 170 terbunuh dalam keganasan pilihan raya pada 2013 yang disifatkan sebagai serangan paling berdarah di negara itu.

Pilihan raya pada 25 Julai depan ini menyaksikan puluhan parti bertanding termasuk bekas perdana menteri berdepan tuduhan rasuah, Nawaz Sharif mewakili parti Liga Muslim Pakistan (PML-N) yang kini ditempatkan di penjara sejurus beliau tiba di negara itu dari London. – Reuters

TINGGALKAN PESANAN